Kanser Usus Paling Kerap Dihidapi Lelaki

19:49 Unknown 0 Comments

Kanser kolorektal atau disebut kanser usus adalah salah satu daripada penyakit penghadaman yang boleh mengancam nyawa. Lebih membimbangkan, kanser ini adalah antara kanser yang paling kerap dihidapi di seluruh dunia.

Kanser Usus

Usus ialah organ terpanjang dalan sistem penghadaman. Ia mempunyai dua bahagian iaitu usus kecil yang berfungsi sebagai tempat makanan diserap dan usus besar iaitu tempat air dan garam diserap. Terdapat dua bahagian dalam usus besar iaitu kolon dan rektum.

Kanser usus ialah ketumbuhan kanser yang biasanya bermula dari dalam lapisan usus besar. Ia boleh membesar lama di bahagian tersebut sebelum merebak ke bahagian lain.

Di Malaysia, dilaporkan bahawa kanser usus adalah  kanser yang paling kerap dihidapi oleh lelaki dan yang ketiga menyerang di kalangan wanita.


Hakikatnya, kanser usus boleh dicegah dan boleh sembuh jika dikesan dan dirawat pada peringkat awal. Justeru, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan atau ujian secara berkala dengan doktor pakar bagi mengesan kanser usus di peringkat awal.

Satu-satunya cara untuk mengesan kanser usus diperingkat awal ialah dengan menjalani pemeriksaan secepat mungkin. Ini sangat penting, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berumur 50 tahun ke atas.

Tidak kesemua kanser usus menunjukkan tanda atau simptom awal. Sekiranya ada tanda-tanda seperti:
  • Perubahan pada tabiat membuang air
  • Cirit-birit, sembelit atau merasa yang usus tidak dapat dikosongkan sepenuhnya
  • Darah (sama ada merah yang cerah atau gelap) di dalam najis.
  • Najis yang tidak bersaiz seperti biasa
  • Ketidakselesaan pada abdomen (sakit angin yang lebih kerap, kembung, rasa kenyang atau kejang)
  • Berat badan turun tanpa sebarang sebab
  • Selalu keletihan
  • Muntah-muntah


Menyerang hati

Kanser usus biasanya bermula sebagai polip, iaitu bonjol kecil pada permukaan dalam kolon. Kebanyakan polip adalah benign atau tidak berbahaya. Namun, jika ia dibiarkan, ia akan membesar dan boleh menjadi malignan (barah). Proses pertukaran dari benign ke malignan juga selalunya mengambil masa yang lama.

Pada tahap lanjut, sel-sel kanser mungkin sudah merebak dari usus besar ke organ lain menerusi proses yang dinamakan metastasis. Ia biasanya menyerang hati, menyebabkan pesakit mengalami gejala seperti jaundis atau penyakit kuning. Apabila ini berlaku, ia menunjukkan tahap kanser yang sudah teruk. Kebanyakan kes kanser usus berlaku secara rambang. Ini bermakna ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. 


Punca sebenar kanser usus juga masih tidak diketahui, tetapi terdapat beberapa faktor yang dikaitkan dengan kanser ini.

Faktor yang pasti ialah sejarah penyakit ini dalam keluarga. Risiko adalah lebih tinggi jika ada antara anggota keluarga menghidap kanser usus. Malah, 10 hingga 20 peratus pesakit kanser usus mempunyai sejarah penyakit dalam keluarga.


Faktor risiko

Keadaan tertentu yang menyebabkan keradangan usus (seperti ulseratif kolitis) juga boleh meningkatkan risiko kanser usus. Faktor risiko lain dikaitkan dengan kanser usus termasuk:
1)      Diet
Lebih ramai rakyat Malaysia makan terlalu banyak daging merah (lembu atau kembing) dan kurang makan serat (buahan dan sayuran). Penekanan hendaklah diberikan kepada bijirin, buahan dan sayuran dan kurangkan pengambilan daging merah.
 2)      Usia
Risiko meningkat selepas 50 tahun. Bagaimanapun, perangkaan menunjukkan bahawa risiko penyakit ini boleh bermula seawal umur 20-an hingga 30-an. Peningkatan kes lebih ketara selepas usia 50 tahun.
 3)      Sejarah Peribadi
Wanita dengan sejarah kanser ovari, uterus dan payu dara berisiko lebih tinggi.
 4)      Jantina
Wanita lebih berisiko daripada lelaki. Namun di Malaysia, risiko kanser usus di kalangan lelaki lebih tinggi sedikit berbanding wanita.
 5)      Gaya hidup
Pengambilan alkohol secara berlebihan, merokok serta kurang atau langsung tidak melakukan aktiviti fizikal meletakkan anda dalam berisiko. Begitu juga berat badan yang berlebihan.

 sumber: MW April 2010

0 comments: