Kesan Menggunakan Minyak Masak Berulang Kali kepada Jantung & Salur Darah – Dr. Siti Khadijah Adam

Gambar: kesehatan.kompasiana.com

Makanan seperti ayam goreng, pisang goreng dan keropok lekor memang enak dimakan. Apatah lagi teksturnya yang rangup dan dimakan pula ketika masih panas. Namun begitu, masyarakat kita cenderung untuk menggunakan minyak masak yang sama berulang kali ketika menggoreng untuk menjimatkan kos. Lebih-lebih lagi penjual makanan di warung-warung atau di kedai-kedai makan. Bagaimana pula anda di rumah? Berapa kalikah anda gunakan minyak yang sama berulang kali ketika memasak? Dua kali? Lima kali? Sepuluh kali?

Gambar: kosmo.com.my

Kesan penggunaan minyak masak berulang kali

Tahukah anda menggunakan minyak masak yang sama berulang kali boleh memudaratkan kesihatan? Ini kerana minyak masak yang dipanaskan pada suhu yang tinggi akan mengalami suatu siri tindak balas kimia yang akan menghasilkan pelbagai jenis produk yang mengubah fizikal dan menjejaskan kualiti minyak tersebut. Kerana itulah kita boleh melihat perubahan warna dan rasa kepada minyak tersebut selepas digunakan beberapa kali.

Minyak masak seperti minyak sawit terdiri daripada asid lemak tepu dan tidak tepu. Pada suhu yang tinggi, asid lemak ini akan mengalami pengoksidaan yang menghasilkan radikal bebas. Radikal bebas banyak dikaitkan dengan penyakit barah, penyakit kardiovaskular dan penyakit neurodegeneratif seperti dementia. Minyak sawit juga pada asalnya amat berkhasiat kerana mengandungi kandungan vitamin E yang tinggi, iaitu sejenis antioksidan. Namun begitu, apabila minyak sawit dipanaskan, kandungan vitamin E ini akan terhapus sedikit demi sedikit bergantung kepada bilangan kali pemanasan tersebut. Apabila minyak tersebut digunakan sehingga lima kali, kajian kami mendapati bahawa lebih kurang 98% vitamin E telah terhapus berbanding sebelum minyak itu dipanaskan1. Jadi, minyak tersebut sudah kehilangan nutrien yang diperlukan dan pengambilan minyak tersebut tidak membawa apa-apa kesan baik sebaliknya akan memberikan kesan toksik kepada kesihatan.


Kesan terhadap jantung dan salur darah

Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan yang menunjukkan bahawa penggunaan minyak masak berulang kali memberikan kesan buruk terhadap kesihatan jantung dan salur darah. Satu kajian telah mendapati bahawa pemberian minyak sawit yang digunakan sebanyak lima dan sepuluh kali menyebabkan peningkatan tekanan darah dan kerosakan tisu pada jantung2. Begitu juga kajian yang telah kami jalankan pada model tikus yang telah menopaus. Minyak sawit yang telah digunakan sebanyak lima kali menyebabkan peningkatan aras kolesterol darah serta pembentukan lesi aterosklerosis kepada model tikus tersebut3, 4. Aterosklerosis adalah suatu keadaan di mana terdapat pembentukan lemak di dalam salur darah arteri yang boleh menghalang pengaliran darah ke seluruh bahagian badan. Pembentukan lesi aterosklerosis ini boleh menyebabkan serangan jantung, strok dan seterusnya boleh membawa maut.


Kebarangkalian seseorang wanita itu untuk menghidapi penyakit kardiovaskular seperti aterosklerosis akan meningkat secara mendadak selepas menopaus. Ini disebabkan oleh penurunan aras hormon estrogen yang mempunyai pelbagai kesan perlindungan terhadap penyakit kardiovaskular. Oleh sebab itu, adalah amat penting bagi wanita menopaus untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat, termasuklah tidak menggunakan minyak masak berulang kali untuk mengelakkan daripada menghidapi penyakit aterosklerosis serta penyakit-penyakit kardiovaskular yang lain.

Kajian di sekitar Kuala Lumpur

Satu kajian telah dijalankan untuk mengetahui amalan dan tahap kesedaran kesihatan peniaga-peniaga makanan bergoreng di pasar malam – pasar malam sekitar Kuala Lumpur5. Telah didapati bahawa walaupun majoriti daripada mereka mengetahui bahawa penggunaan minyak masak berulang kali adalah tidak baik untuk kesihatan, tetapi mereka tetap menggunakan minyak tersebut. Yang lebih mengejutkan, apabila dikaji sampel minyak yang diambil dari beberapa kawasan pasar malam di sekitar Kuala Lumpur, didapati bahawa aras peroksida minyak tersebut adalah sangat tinggi yang melebihi aras yang ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Dengan itu, minyak tersebut sebenarnya harus dibuang dan tidak boleh digunakan lagi dalam masakan. Ini mungkin terjadi kerana mereka mahu menjimatkan kos tetapi pada masa yang sama boleh memudaratkan kesihatan pembeli makanan tersebut.

Mahu jimat atau sihat?

Setiap individu perlu mengetahui bahawa menggunakan minyak masak yang sama berulang kali memberikan banyak kesan buruk terhadap kesihatan. Amalan ini bukan sahaja boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular, tetapi juga penyakit-penyakit lain seperti barah, kerosakan hati serta osteoporosis. Masyarakat kita kerap menggunakan minyak yang sama berulang kali terutama sekali ketika menggoreng untuk menjimatkan kos. Minyak tersebut hanya akan dibuang apabila warnanya menjadi gelap kehitaman. Ini mungkin dipengaruhi oleh status sosioekonomi dan tahap pendidikan seseorang individu itu. Jadi, adalah amat penting untuk meningkatkan tahap kesedaran setiap individu tentang bahayanya amalan ini, khususnya kepada wanita menopaus yang terdedah kepada penyakit kardiovaskular serta seluruh masyarakat kita, amnya.

Dr Siti Khadijah seorang pensyarah farmakologi di sebuah universiti tempatan yang mempunyai minat mendalam pada kajian berkenaan produk semulajadi dan penyakit kardiovaskular.

Rujukan:

Adam, S. K., Sulaiman, N. A., Top, A. M., & Jaarin, K. (2007). Heating reduces vitamin E content in palm and soy oils.Malaysian Journal of Biochemistry and Molecular Biology, 15(2), 76-79.
Leong, X. F., Aishah, A., Nor Aini, U., Das, S., & Jaarin, K. (2008). Heated palm oil causes rise in blood pressure and cardiac changes in heart muscle in experimental rats.Archives of Medical Research, 39(6), 567-572.
Adam, S. K., Soelaiman, I. N., Umar, N. A., Mokhtar, N., Mohamed, N., & Jaarin, K. (2008). Effects of repeatedly heated palm oil on serum lipid profile, lipid peroxidation and homocysteine levels in a post-menopausal rat model. McGill Journal of Medicine: MJM,11(2), 145.
Adam, S. K., Das, S., & Jaarin, K. (2009). A detailed microscopic study of the changes in the aorta of experimental model of postmenopausal rats fed with repeatedly heated palm oil.International Journal of Experimental Pathology,90(3), 321-327.
Azman, A., Shahrul, S. M., Chan, S. X., Noorhazliza, M. K., & HMS, Q. (2012). Level of knowledge, attitude and practice of night market food outlet operators in Kuala Lumpur regarding the usage of repeatedly heated cooking oil. Medical Journal of Malaysia, 67(1), 91-101

KAWAL MAKAN UNTUK ELAKKAN GOUT

Sendi jari tangan tidak boleh bergerak kerana tersalah makan dan kaki tiba-tiba membengkak sehinggakan ingin memijak lantai pun terasa seolah-oleh memijak atas timbunan jarum yang menegak.



Inilah sebahagian rasa yang dialami mereka yang menghidap penyakit gout. Salah makan saja, terutama bayam, ikan bilis dan makanan laut, pastinya mereka mempunyai penyakit ini, terpaksa merana akibat kesakitan yang teramat sangat pada sendi anggota badan.

Penyakit gout mula dikenal pasti lebih 2,000 tahun dulu dan ia dipanggil penyakit orang kaya lantaran ia dikaitkan dengan pengambilan makanan dan minuman yang terlalu banyak khasiat.

Ia membabitkan serangan serta-merta yang bukan saja menyebabkan kesakitan tetapi turut membengkak dan rasa panas di sendi.

Selalunya ia membabitkan jari kaki yang besar tetapi juga ia boleh memberi kesan pada tumit, lutut, tapak kaki, buku lali dan jari kaki.



Ia adalah sebahagian daripada penyakit artritis yang dikelaskan sebagai penyakit metabolik akibat asid urik (iaitu bahan buangan yang terhasil daripada pemecahan purin (protein); berkumpul pada sendi dan tisu lembut di sekeliling sendi, terutama pada kaki dan menyebabkan rasa sakit.

Umumnya, gout sering dikaitkan sebagai pe nyakit lelaki dan ia jarang sekali berlaku kepada wanita. Jika ada pun, kemungkinan berlaku hanyalah selepas mengalami menopaus. Malah, individu yang mengalami masalah kencing manis, obesiti, anemia, pesakit buah pinggang atau pengambilan ubat yang mengganggu pengkumuhan asid urik turut berisiko mendapat gout.

Selain dikenali sebagai penyakit yang diwarisi, gout juga disebabkan pengamalan gaya hidup yang kurang sihat seperti pengambilan makanan laut serta makan sesetengah sayuran seperti bayam dan cendawan secara berlebihan.

Jangan biarkan gout tidak dirawat kerana kemungkinan untuk terjadinya kerosakan sendi dan ketidakupayaan untuk bergerak boleh terjadi.

makanan penyebab gout

Gout biasanya mudah dikesan menerusi pemeriksaan biasa. Biasanya doktor akan mengambil contoh cairan sendi dan cuba mengesan kehadiran kristal asid urik. Selain itu ujian darah juga dibuat untuk memastikan tahap asid urik dalam tubuh.

Walaupun bunyinya agak menakutkan gout sebenarnya boleh dikawal dengan mengubah gaya hidup. Kurangkan minuman beralkohol, hadkan pengambilan daging merah atau ikan yang tinggi purin dan kawal berat badan anda.

Selain itu gout boleh dikawal dengan ubat-ubatan. Ada ubat-ubatan yang diberi ketika masih diserang gout dan ubat-ubatan untuk rawatan jangka panjang.

Bagi individu y ang mempunyai masalah gout, mereka disarankan untuk berpantang sedikit dan menghindarkan makanan kaya purin seperti bijirin, makanan laut, makanan berprotein tinggi, ikan bilis, minuman keras, kicap, teh dan kopi.

Sebaliknya, minum lebih banyak air masak sekurang-kukrangnya lapan gelas sehari dan kerap bersenam.

Sayangilah tubuh anda, kerana ia adalah anugerah yang tidak ternilai dari Yang Maha Esa.


TIP
Antara makanan yang harus dielakkan:
- Makanan laut; ikan, kerang, sardin dan ikan bilis.
- Sayur-sayuran seperti asparagus, bunga kobis dan bayam.
- Organ dalaman haiwan seperti paru, hati dan jantung.
- Daging merah.
- Cendawan.
- Yis (roti putih, roti manis).

sumber: BeritaHarian

Awas!! Alat Solek Penyebab Jerawat

Kebanyakan remaja perempuan dan wanita dewasa ditumbuhi jerawat yang berpunca daripada alat solek yang mereka gunakan. Mereka terlampau bergantung kepada alat solek untuk menutup jerawat tetapi sebaliknya ia tumbuh lebih banyak dan mendatangkan kesan lebih buruk pada kulit.

gambar hiasan

Sebenarnya memang ada penyakit yang datang berpunca daripada alat solek. Ia dipanggil acne cosmetica. Penggunaan alat solek dan kosmetik tidak mengubah keadaan.

Ance cosmetica kerap menyerang kawasan permukaan kulit yang sering diliputi alat solek seperti pipi dan dahi. Keadaan ini akan mula berlaku dalam masa beberapa minggu atau bulan.

Pada peringkat awal, anda akan lihat bonjolan kecil kemerahan yang gatal seperti ruam. Ia akan kekal beberapa lama pada kulit jika anda terus memakai alat solek di permukaan kulit.

Walaupun ia tumbuh, tetapi ia tidak akan meninggalkan kesan parut.

Cara terbaik untuk menangani masalah jerawat yang berpunca daripada pemakaian alat solek ialah dengan membeli alat solek dan produk penjagaan kulit non-comedogenic dan elakkan daripada menggunakan produk yang menyebabkan berlaku radang pada kulit anda.

Comedogenic adalah bahan yang boleh menyebabkan liang roma tersumbat dan akhirnya menyebabkan alahan serta jerawat jenis acne cosmetica.

Kosmetik konvernsional boleh memberikan reaksi terhadap kulit anda. Selain itu, ada beberapa bahan lain yang kerap digunakan juga memberi kesan pada kulit iaitu:

1. Serbuk talkum - menyebabkan liang tersumbat. Ia digunakan dalam loose powder.

2. Bahan kimia Bismuth Oxychloride - menyebabkan radang pada liang roma.

3. Minyak mineral - menyebabkan kulit berminyak apabila ia berpeluh, liang tersumbat dan radang pada liang. Digunakan dalam bedak asas dan pembayang mata.

4. Pewarna tiruan - boleh menyebabkan ruam kulit.

5. Bahan pengawet - menyebabkan radang kulit.

Terdapat sejenis rangkaian alat solek berasaskan mineral semulajadi. Ia amat lembut dan 'ringan'.

Kosmetik yang menggunakan bahan asas mineral mungkin mengandungi:

- Vitamin C, A, K dan E - dalam bentuk asli
- Ekstrak teh hijau dan chamomile untuk melegakan radang kulit
- Bahan mineral semula jadi 
- Talkum dan bismuth oxychloride - yang mempunyai ciri-ciri antiseptik

Kelebihan rangkaian kosmetik mineral adalah:

- Tidak menyebabkan liang roma tersumbat. Ini kerana partikel mineral ini mempunyai saiz yang lebih besar daripada liang kulit. Oleh itu, kosmetik hanya berada pada lapisan kulit atas tanpa diserap oleh kulit. Ia mengelak liang roma daripada tersumbat.

- Tidak berisiko dicemari kuman. Ini kerana kosmetik mineral mempunyai asas berbentuk mineral iaitu bukan organik yang menyebabkan ia tidak mempunyai risiko kontaminasi.

- Boleh dipakai oleh kulit sensitif dan berjerawat. Amat sesuai untuk mengawal kulit berminyak. Ia juga boleh digunakan sejurus selepas rawatan chemical peel, extraction, mikrodermabrasion, laser dan rawatan platelet rich plasma (PRP).

- Sesuai untuk lelaki yang mempunyai kulit berminyak kerana warna bedak yang 'natural'.

Untuk mengelakkan muka ditumbuhi jerawat anda perlu:

1. Membersihkan muka dan solekan sebelum tidur. Gunakan pencuci muka yang lembut pada kulit dan penyegar untuk membersihkan kulit muka.

2. Pilih alat solek yang mempunyai label non-comedogenic untuk megelak kesan solekan terkumpul dalam liang roma pada muka.

3. Bersihkan alat solek seperti berus dan alat solek anda dengan sabun antimikrobial untuk menghapuskan bakteria.

4. Gunakan alat solek berasaskan bedak berbanding cecair kerana cecair mempunyai kandungan minyak yang tinggi.

5. Cuba tukar jenama alat solek jika yang anda gunakan sekarang menyebabkan kegatalan dan radang pada kulit muka anda.

6. Elak memakai alat solek terlalu kerap untuk memberi peluang kulit anda sembuh dan segar.

7. Elak menggunakan minyak wangi yang berbau manis kerana boleh menjadi punca alahan dan iritasi pada kulit muka dan leher.

8. Elak menggunakan bedak muka atau pemerah pipi yang berkilat atau 'sparkle' kerana ia mengandungi mica, mempunyai struktur yang kasar dan boleh melukakan permukaan kulit anda.

Sumber : Berita Harian

























Awas! Kanser Usus Besar Lebih Banyak Serang Golongan Lelaki

Awas kanser usus : Kanser usus besar lebih banyak serang golongan lelaki.

Masyarakat hari ini ramai yang tidak menyedari bahawa kanser usus besar merupakan kanser utama yang menyebabkan kaum lelaki dan kedua paling banyak melibatkan wanita di negara ini.

Walaupun punca sebenar kanser usus besar ini masih kabur, namun dengan pengesanan awal peluang pesakit untuk sembuh adalah tinggi.

gambar hiasan

Sungguhpun begitu, kesedaran terhadap risiko dan pencegahan awal terhadap kanser usus besar ini masih di tahap rendah. Kanser usus besar atau kanser kolon ialah kanser yang menyerang kolon dan rektum iaitu bahagian usus besar yang membantu mencernakan makanan dan membuang bahan-bahan kumuh.

Dianggarkan 1.2 juta kes baharu kanser usus besar dicatatkan di seluruh dunia pada tahun 2007 dengan anggaran 63,000 kematian setiap tahun.

gambar hiasan

Presiden Persatuan Advokasi Kanser Malaysia, Dr. Charistina Ng yang juga merupakan Pakar Runding Onkologi memberitahu, punca sebenar kanser usus besar masih belum diketahui, tetapi banyak faktor yang menyumbangnya dalam jangka masa panjang.

Dr. Charistina Ng

Antaranya ialah faktor umur, sejarah keluarga, diet, penggunaan tembakau, gaya hidup, dan penyakit usus.

"Secara nisbah seorang daripada tiga orang lelaki berisiko tinggi untuk menghidap kanser usus besar ini. Malah mereka yang berisiko mendapat penyakit ini adalah seiring dengan pertambahan usia.

"Banyak kes yang dicatatkan di Malaysia melibatkan mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Statistiknya dijangka akan meningkat setiap tahun.

"Seperti kebanyakan penyakit kanser yang lain, sejarah keluarga turut menjadi faktor seseorang itu berisiko tinggi mendapat kanser usus besar", ujarnya ketika ditemui pada Kempen Kanser Usus Besar 2015 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr. Christina Ng bersama pesakit-pesakit kanser usus besar (dari kanan) Tan Chu Tea, 57, Abdul Wahab Omar, 66, dan Amna A. Hamid, 57, yang turut hadir pada Kempen Kanser Usus Besar 2015, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Terdapat empat peringkat kanser usus besar yang mana pada peringkat pertama, kanser ini akan berada di dalam lapisan kolon atau rektum dan mula merebak ke dinding kolon pada peringkat kedua.

Pada peringkat ketiga pula mula merebak di kawasan berhampiran nodus limfa dan akhirnya ke beberapa bahagian organ badan seperti hati dan paru-paru.

Sehubungan itu, pencegahan awal sangat penting sebelum seseorang itu  menunjukkan sebarang simptom yang mengaitkannya dengan kanser usus besar.


"Kajian terdahulu telah menunjukkan bahawa saringan untuk penyakit ini kemudian diikuti dengan kaedah perubatan yang sesuai boleh mengurangkan moviditi berkaitan penyakit dan juga kematian.

"Oleh yang demikian, saringan awal sangat penting dan golongan yang berumur 50 tahun ke atas disarankan melakukan ujian bagi mencegahnya di peringkat awal.

"Yang pasti, didikan mengenai fakta kanser usus besar serta kadar penyembuhan yang dapat dicapai jika melalui pengesanan dan rawatan awal mampu menyelamat nyawa," tutur Dr. Christina.

sumber : utusan

Kepentingan Kolagen

KEPENTINGAN KOLAGEN

Membantu mengekalkan keanjalan kulit dan awet muda


Memasuki gerbang usia 40-an, saya semakin risau kerana ketegangan kulit wajah dan tubuh lain semakin mengeleber. Ramai kata, ia disebabkan kurang kolagen. Apakah kepentingan kolagen kepada tubuh sehingga banyak produk kecantikan mengandungi kolagen dipromosi di pasaran?

Dhia Aqila Izzuddin, Rawang, Selangor.

Proses penuaan adalah lumrah bagi setiap individu. Ia menyebabkan perubahan tertentu pada kulit.

Apabila usia bertambah, kolagen dan elastin iaitu serat yang mengekalkan ketegangan kulit akan menjadi lemah. Akibatnya, kulit menjadi kendur, menipis dan kehilangan integriti tisu membuatkan ia kelihatan tidak tegang dan berkedut.


Ketika perubahan itu berlaku graviti turut melaksanakan tugasannya dengan menarik kulit yang menyebabkannya menjadi kendur.

Sinaran matahari juga menjadi penyebab utama perubahan kulit. Beberapa banyak seseorang itu terdedah kepada sinaran akan menentukan sejauh manakah kedutan pada kulit.

Justeru, kemunculan pelbagai produk kosmetik berasaskan kolagen dalam pasaran sekarang member peluang orang ramai memilih mana produk yang sesuai.

Produk sebegini dikatakan dapat memperlahankan proses penuaan dengan menggantikan kolagen yang semakin berkurangan dan membantu sebagai agen awet muda.


Fakta Kolagen
Apa itu kolagen? Ia adalah sejenis protein semula jadi dalam kulit manusia dan menjadi bahan asas bagi menghasilkan sel, tisu dan organ dalam tubuh manusia. Satu pertiga daripada protein dalam tubuh manusia diperbuat daripada kolagen dan kebiasaannya ditemui pada tulang, otot dan tisu pada organ.

Kolagen juga bersama-sama komponen lain seperti keratin dan elastin member kekuatan serta keanjalan struktur kulit. Penghasilan kolagen secara semula jadi akan berkurangan perlahan-lahan dengan peningkatan usia pada kadar purata satu peratus setiap tahun.

Bagi wanita, penghasilan kolagen tidak sebanyak lelaki. Oleh itu, dengan penghasilannya yang semakin berkurangan pada kadar satu peratus wanita akan kehilangan hampir separuh kolagen daripada kulit mereka seawal usia 50 tahun.

Kolagen semula jadi ini juga boleh berkurangan disebabkan faktor persekitaran seperti kerap terdedah kepada cahaya matahari, toksin seperti asap rokok dan dadah serta nutrisi yang tidak seimbang.

Produk Kolagen
Kebelakangan ini, ada banyak produk di pasaran berasaskan kolagen yang dikatakan dapat menggantikan kolagen yang dikatakan dapat menggantikan kolagen akibat peningkatan usia. Produk kolagen yang berada di pasaran pada masa ini disediakan dalam bentuk minuman, pil, kapsul, krim dan suntikan.


Produk ini dikatakan membantu menghilangkan kedut dan garisan halus pada muka, menambah keanjalan dan memperbaiki pigmentasi, sekali gus member kesan pemulihan kepada kulit.

Ada juga produk mendakwa mempunyai khasiat tambahan seperti member kekuatan tulang dan memperbaiki fungsi sendi. Bagaimanapun, di sebalik dakwaan syarikat dan testimoni pengguna berkaitan kebaikan produk kolagen, ada beberapa faktor dari segi sains perubatan yang perlu diambil kira sebelum menyatakan kolagen buatan manusia itu bermanfaat.

Sebagai Makanan Tambahan
Seperti yang kita ketahui kolagen ialah sejenis protein dan apabila diambil sebagai makanan tambahan ia akan dihadam oleh enzim pencernaan untuk menjadi asid amino. Kemudian digunakan oleh sel untuk peroses penting dalam tubuh dan tidak semestinya digunakan untuk menggantikan kolagen pada kulit atau tulang seperti dikehendaki.


Kolagen dalam bentuk krim, losen atau gel yang perlu disapu pada kulit pula dikhuatiri tidak dapat member kesan diingini kerana saiz molekul kolagen sangat besar dan tidak dapat menembusi lapisan kulit. Jika ada produk kolagen di formulasi dengan teknologi moden dan bersaiz mikro, kolagen yang berjaya menyerap masuk ke kulit ini berkemungkinan dimusnahkan oleh system imun badan terlebih dahulu sebelum sempat menghasilkan kesan diingini.

Justeru, pengguna yang bercadang menggunakan produk kolagen perlu mempertimbangkan sebaik mungkin sebelum membeli dan menggunakan produk kolagen.

Lakukan penyelidikan terperinci sebelum mengamalkan produk kolagen:
- Dapatkan pandangan dan nasihat professional daripada pakar perubatan kosmetik atau pakar kecantikan bertauliah terlebih dahulu. Ini penting untuk mengetahui sama ada produk itu memberi manfaat dan mengurangkan kesan sampingan.


- Pastikan produk yang ingin digunakan itu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan. Produk berdaftar dijamin selamat dan berkualiti kerana sudah melalui ujian makmal sebelum diluluskan dan boleh dipasarkan.

- Pertimbangkan dengan logic semua kebaikan yang didakwa boleh diperolehi daripada produk kolagen yang ingin dibeli. Pengguna perlu membandingkan fungsi kolagen semula jadi yang dihasilkan oleh badan dengan kebaikan yang dijanjikan oleh produk kolagen. Sepatutnya khasiat kedua-dua jenis kolagen tidak jauh beza dan tiada dakwaan khasiat keterlaluan oleh penjual produk dalam bahan promosi mereka.

- Dapatkan maklumat selengkap mungkin mengenai produk yang ingin digunakan termasuk kesan sampingan. Produk kolagen terutama yang berasaskan haiwan seperti kolagen ikan bolelh menyebabkan kesan alahan kepada pengguna berisiko. Masyarakat terutama golongan muda digalakkan bermula lebih awal. Proses penuaan boleh dilewatkan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Beberapa langkah melambatkan proses penuaan:
1) Elakkan kulit terdedah terus kepada cahaya matahari dan amalkan penggunaan krim pelindung cahaya matahari yang mengandungi SPF 50 dan ke atas.

2) Kurangkan merokok dan terdedah kepada asap rokok serta minuman keras.

3) Tidur yang mencukupi dan berkualiti serta tidak ketinggalan juga mengawal tekanan.


4) Amalkan diet seimbang dan banyak mengambil sayur-sayuran serta buah-buahan yang kaya dengan vitamin dan antioksida. Buah-buahan berwarna terang seperti tembikai, tomato dan limau gedang mengandungi lycopene yang berkhasiat mengelak degenerasi atau pengurangan kolagen. Makanan yang kaya dengan omega 3 seperti minyak ikan dan spirulina juga bagus sebagai antioksida dan berkhasiat untuk kulit.

5) Amalkan mencuci muka dengan skrub dan pencuci muka diformulasi dengan alphahydroxy acid (AHA) dan beta hydroxyacid (BHA) yang membantu pertubuhan semula kulit.


6) Penggunaan AHA membantu penghasilan kolagen dalam kulit dan menjadikan kulit lembap.


Sumber : Berita Harian (isnin 27 april 2015)

PETUA SEMASA PROSES KELAHIRAN BAYI

PETUA SEMASA PROSES KELAHIRAN BAYI

- Proses meneran untuk keluarkan baby
1. Jangan fokus pada sakit, ingatkan yang kita tengah berusaha nak keluarkan seorang khalifah Allah ke dunia.

2. Jangan teran cepat sangat, biasanya gesaan (urge) meneran akan datang dengan sendirinya. Bersedia meneran apabila bukaan 8-10cm. Apabila rasa sakit dan gesaan untuk meneran sudah terasa baru boleh meneran.


3. Posisi semasa nak melahirkan..dalam keadaan berbaring, buka kaki dan tinggikan lutut sambil kedua-dua tangan pegang pada kedua-dua buku lali. Posisi ini memastikan kedudukan kaki akan terbuka dan terkangkang dengan luas bagi memudahkan proses keluaran bayi dan memudahkan doktor atau bidan menyambut kelahiran.

4. Posisi suami untuk membantu isteri supaya mudah melahirkan.. Sebelah tangan pegang bahu isteri untuk dijadikan sebagai tempat menyandar (isteri boleh bersandar dilengan suami supaya terasa lebih selesa). Dan sebelah tangan lagi tekan lutut isteri untuk mengelakkan isteri mengangkat punggung semasa meneran (elakkan koyakan)


5. Teknik Meneran dan bernafas (Second stage breathing) Tarik nafas dalam-dalam melalui mulut, dan teran sambil angkat badan (bkn angkat punggung ya..) mendekati lutut sambil dagu cecah ke dada...dgn satu nafas supaya bayi keluar keseluruhannya tanpa tersekat. Teran tanpa mengeluarkan suara untuk pastikan kita meneran sepenuh hati dan sekiranya tak cukup nafas semasa meneran, jangan lepaskan kesemuanya, terus tarik nafas semula, sebab, dikuatiri kalau lepaskan nafas kesemuanya, bayi akan termasuk ked alam semula atau tersekat.

Rumusannya..
Ini adalah sekadar panduan sahaja. Keadaan sebenarnya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Setiap orang mempunyai pengalaman yang berbeza-beza semasa melahirkan seorang manusia. Apapun kita hanya mampu merancang dan berdoa moga dipermudahkan proses kelahiran ini. Dan yang penting kongsilah petua ini dengan suami atau birth partner, kerana semasa sedang sakit, segala ilmu, petua dan teknik yang telah dipelajari dan dikutip mungkin akan hilang dan terlupa dek kerana menahan sakit. Oleh itu perlu adanya seseorang yang berada disamping kita semasa proses kelahiran tersebut untuk mengingatkan kita. Mudah-mudahan dipermudahkannya.