KAWAL MAKAN UNTUK ELAKKAN GOUT

23:25 Unknown 0 Comments

Sendi jari tangan tidak boleh bergerak kerana tersalah makan dan kaki tiba-tiba membengkak sehinggakan ingin memijak lantai pun terasa seolah-oleh memijak atas timbunan jarum yang menegak.



Inilah sebahagian rasa yang dialami mereka yang menghidap penyakit gout. Salah makan saja, terutama bayam, ikan bilis dan makanan laut, pastinya mereka mempunyai penyakit ini, terpaksa merana akibat kesakitan yang teramat sangat pada sendi anggota badan.

Penyakit gout mula dikenal pasti lebih 2,000 tahun dulu dan ia dipanggil penyakit orang kaya lantaran ia dikaitkan dengan pengambilan makanan dan minuman yang terlalu banyak khasiat.

Ia membabitkan serangan serta-merta yang bukan saja menyebabkan kesakitan tetapi turut membengkak dan rasa panas di sendi.

Selalunya ia membabitkan jari kaki yang besar tetapi juga ia boleh memberi kesan pada tumit, lutut, tapak kaki, buku lali dan jari kaki.



Ia adalah sebahagian daripada penyakit artritis yang dikelaskan sebagai penyakit metabolik akibat asid urik (iaitu bahan buangan yang terhasil daripada pemecahan purin (protein); berkumpul pada sendi dan tisu lembut di sekeliling sendi, terutama pada kaki dan menyebabkan rasa sakit.

Umumnya, gout sering dikaitkan sebagai pe nyakit lelaki dan ia jarang sekali berlaku kepada wanita. Jika ada pun, kemungkinan berlaku hanyalah selepas mengalami menopaus. Malah, individu yang mengalami masalah kencing manis, obesiti, anemia, pesakit buah pinggang atau pengambilan ubat yang mengganggu pengkumuhan asid urik turut berisiko mendapat gout.

Selain dikenali sebagai penyakit yang diwarisi, gout juga disebabkan pengamalan gaya hidup yang kurang sihat seperti pengambilan makanan laut serta makan sesetengah sayuran seperti bayam dan cendawan secara berlebihan.

Jangan biarkan gout tidak dirawat kerana kemungkinan untuk terjadinya kerosakan sendi dan ketidakupayaan untuk bergerak boleh terjadi.

makanan penyebab gout

Gout biasanya mudah dikesan menerusi pemeriksaan biasa. Biasanya doktor akan mengambil contoh cairan sendi dan cuba mengesan kehadiran kristal asid urik. Selain itu ujian darah juga dibuat untuk memastikan tahap asid urik dalam tubuh.

Walaupun bunyinya agak menakutkan gout sebenarnya boleh dikawal dengan mengubah gaya hidup. Kurangkan minuman beralkohol, hadkan pengambilan daging merah atau ikan yang tinggi purin dan kawal berat badan anda.

Selain itu gout boleh dikawal dengan ubat-ubatan. Ada ubat-ubatan yang diberi ketika masih diserang gout dan ubat-ubatan untuk rawatan jangka panjang.

Bagi individu y ang mempunyai masalah gout, mereka disarankan untuk berpantang sedikit dan menghindarkan makanan kaya purin seperti bijirin, makanan laut, makanan berprotein tinggi, ikan bilis, minuman keras, kicap, teh dan kopi.

Sebaliknya, minum lebih banyak air masak sekurang-kukrangnya lapan gelas sehari dan kerap bersenam.

Sayangilah tubuh anda, kerana ia adalah anugerah yang tidak ternilai dari Yang Maha Esa.


TIP
Antara makanan yang harus dielakkan:
- Makanan laut; ikan, kerang, sardin dan ikan bilis.
- Sayur-sayuran seperti asparagus, bunga kobis dan bayam.
- Organ dalaman haiwan seperti paru, hati dan jantung.
- Daging merah.
- Cendawan.
- Yis (roti putih, roti manis).

sumber: BeritaHarian

0 comments: