Ketulan Bukan Barah Payudara

21:18 Unknown 0 Comments

Ramai wanita bimbang jika ada ketulan pada payudara mereka dan menyangka ia adalah kanser. Kebimbangan semakin membuak-buak apabila ketulan itu dilihat lebih menonjol dan terasa sakit ketika datang haid.

Tidak perlu risau kerana kebanyakan ketulan pada payudara tidak berbahaya dan bukan kanser (benigna). Ketulan jenis ini biasa berlaku kepada wanita setiap peringkat umur. Namun, ia kerap berlaku kepada wanita pada peringkat remaja hingga 40 tahun. 
Perunding Pakar Bedah Am Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr Jonah Azariah berkata, ketulan pada payudara mengandungi sista iaitu berisi cecair seperti anggur dikenali sebagai penyakit payudara fibrocystic atau fibroadenosis. 

Ketulan ini bersaiz sangat kecil tetapi boleh membesar sehingga dua atau tiga sentimeter (cm), malah ia juga boleh tumbuh pada sebelah saja atau kedua-dua payudara, tumbuh lebih daripada satu dan tumbuh berulang selepas yang lama kecut.

PERBEZAAN bentuk di antara payudara normal (kiri) dan fibrocystic (kanan).

UJIAN mamogram untuk memeriksa tisu payudara sesuai dijalani wanita berusia lebih 30 tahun.

Wanita yang ada ketulan fibroadenosis akan mengalami gejala seperti kesakitan pada payudara, payudara membesar atau membengkak dan ketulan menonjol ketika datang haid.

Namun, tidak semua wanita yang ada ketulan ini mengalami gejala sama kerana segelintir mereka hanya berasa kurang selesa, manakala yang lain berasa kesakitan yang amat sangat. 

“Punca terjadi ketulan fibroadenosis belum diketahui, tetapi pakar berpendapat ia disebabkan tindak balas tisu payudara dengan hormon wanita yang tidak seimbang, terutama ketika datang haid. 

“Kesakitan lebih dirasai ketika hampir datang haid dan beransur hilang apabila datang haid. 

“Kira-kira 90 peratus wanita yang ada sista mengalami kesakitan biasa dan mereka boleh mengambil pil tahan sakit untuk rawatan, manakala selebihnya mengalami kesakitan yang berlarutan sehingga berbulan-bulan lamanya walaupun sebelum datang haid. 

“Bagi merawat kesakitan yang keterlaluan itu, mereka boleh mencuba ubat hormon untuk memulihkan semula ketidakseimbangan hormon. 

“Namun, pengambilan ubat hormon ini khas untuk wanita yang mengalami kesakitan teruk berikutan ubat ini mempunyai risiko terkena kanser rahim,” katanya. 

Katanya, dalam fibroadenosis ada banyak kategori dengan sista berlainan jenis dan dua hingga tiga kategori ini mendatangkan risiko mendapat kanser payudara kepada wanita berusia lebih 40 tahun. 

“Walaupun ketulan pada payudara tidak berbahaya, tetapi seelok-eloknya mereka yang mempunyai sista ini perlu menemui doktor bagi menjalankan pemeriksaan dan mendapatkan nasihat setiap empat atau enam bulan sekali. 

“Ini bagi mengesan supaya sista itu tidak mengundang penyakit lain. Ini kerana, kadangkala sista itu boleh menjadi bisul dan pembedahan perlu dilakukan bagi membuang nanah supaya kesakitan tidak bertambah buruk,” katanya. 

Bagi mengesan bahawa ketulan pada payudara itu adalah fibroadenosis, doktor akan menjalankan biopsi atau menggunakan jarum halus untuk mengambil sampel tisu payudara dan sista sebelum dianalisis. 

Selain itu, ujian ultra bunyi juga boleh dijalankan bagi mengesan tisu payudara bersista. Manakala, ujian mamogram pula dijalankan kepada wanita berusia lebih 30 tahun kerana pada usia ini tisu payudara mereka kurang padat. 

Jika ketulan pada payudara dikesan bukan kanser, tidak semestinya ia perlu dibuang menerusi pembedahan. Selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan, ia boleh dirawat dengan hanya pengambilan ubatan. 

Namun, pembedahan membuang sista boleh dilakukan jika ketulan itu membesar atau mendatangkan gejala penyakit lain. 

“Kebanyakan wanita yang ada sista ini lebih gemar membuangnya menerusi pembedahan kerana berasa tidak selesa, sedangkan sista sama boleh berulang. Pembedahan yang terlalu kerap akan menyebabkan payudara tidak cantik kerana banyak kesan parut. 

“Wanita digalak melakukan pemeriksaan payudara (PSP) secara berkala kerana ia dapat mengesan sebarang perubahan kecil pada peringkat awal sebelum mempunyai tanda atau gejala lain. 

“Yang penting, wanita perlu menjaga kesihatan payudara dengan memakai coli sesuai, kurangkan pengambilan lemak dan menjauhkan perkara yang boleh menyebabkan hormon berubah dan memberi kesan pada tisu payudara,” katanya.

- Sumber: hmetro.com.my

0 comments: