Apa Itu Diabetes? Anda Tahu Tapi Tidak Peduli

01:55 Unknown 0 Comments

Keputusan awal Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011 menunjukkan kira-kira tiga juta rakyat Malaysia kini menghidap diabetes. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hassan Abdul Rahman ketika mengumumkan hasil kajian terkini itu pada 3 November 2011 lalu mengakui bahawa jumlah itu amat membimbangkan berbanding 1.5 juta ketika kali terakhir kajian dijalankan pada 2006


Apa lagi yang boleh dikatakan? Isu diabetes bukanlah satu isu baru sebaliknya sudah seakan ‘sebati’ dengan masyarakat kita. Diabetes juga lebih tepat jika dikatakan sebagai satu penyakit akibat gaya hidup. Penyakit ini secara tepatnya boleh dicegah tetapi kerana kurangnya sikap prihatin atau kesedaran tentang pentingnya amalan diet seimbang dan bersenam, ia menjadikan gejala ini kian tidak terkawal. Kesannya lebih banyak kematian dan lebih banyak individu yang menjadi kurang upaya. Ini semua akibat diabetes!
Diabetes Triangle small

“Sekarang ini kita tidak boleh fikir yang kita ini sihat dan umur pun masih muda, jadi kita tak mungkin akan dapat diabetes. Anggapan yang orang gemuk saja boleh dapat diabetes juga salah. Orang kurus pun ramai yang menghidap diabetes. Cuma kalau kita berlebihan berat badan, risiko itu menjadi lebih tinggi. Tak dapat dinafikan di Malaysia kita mewah dengan makanan. Pagi, petang, siang, malam, pelbagai menu kita ada. Sedar tak sedar, sudah ada penyakit yang menghuni dalam tubuh”, begitulah ujar Profesor Madya Dr. Loong Yik Yee, Konsultan Perubatan dan Gastroenterologi Pusat Perubatan Pakar Sime Darby Megah ketika membincangkan isu ini kepada forum kesihatan sempena Hari Diabetis Sedunia yang lalu.

Secara Saintifiknya, diabetes adalah sejenis penyakit metabolic di mana tubuh tidak boleh menghasilkan atau menggunakan insulin dengan betul. Apabila tubuh (secara khususnya pancreas) tidak lagi menghasilkan insulin atau badan tidak boleh menggunakan insulin sendiri dengan berkesan maka makanan yang kita makan akan bertukar kepada gula dalam badan kita. Fungsi sebenar insulin  adalah untuk membawa gula dalam saluran darah ke dalam sel dan tisu, di mana ia akan digunakan sebagai bahan bakar. Bagaimanapun apabila kekurangan insulin, gula tidak boleh dibawa ke dalam sel dan tisu, maka paras gula dalam badan meningkat. Ini akan merosakkan sel yang memerlukan glukosa untuk bahan bakar dan ia juga akan merosakkan organ dan tisu yang didedahkan kepada tahap glukosa yang tinggi.



Terdapat DUA JENIS DIABETES utama:

Jenis 1 - 'Diabetes atau Insulin Dependent Diabetes Mellitus' (bergantung pada Insulin)
  • Biasanya berlaku pada kanak-kanak dan remaja. Peningkatan kes setiap tahun di kalangan kanak-kanak adalah sebanyak tiga peratus.
  • Biasanya tidak dapat menghasilkan insulin atau gejala yang bersifat semulajadi.

Jenis 2 - 'Diabetes atau Non-Insulin Dependent Diabetes Mellitus' (tidak bergantung pada insulin)
Jenis paling biasa ditemui dan dianggarkan kira 90-95% penghidap diabetes adalah penghidap jenis ini.
  • Selalunya pada orang yang berumur, mengalami berat badan berlebihan atau yang mempunyai keturunan yang menghidap diabetes.


Mengenali Gejala Awal Diabetes
  • Kerap dahaga dan bertambahnya gasaan untuk membuang air kecil.
  • Sering berasa lapar.
  • Penyusutan berat badan.
  • Penglihatan mula menjadi kabur.
  • Rasa penat yang keterlaluan.
  • Mudah diserang jangkitan, demam dan selesema.
  • Kesan luka atau bengkak yang lambat sembuh.
  • Boleh diserang pelbagai penyakit kronik hingga berupaya menjadi koma (jika penyakit lewat dikesan dan tidak dirawat dengan suntikan insulin).
  • Ada juga di antara pesakit diabetes yang akan mengalami masalah kulit  seperti kegatalan.
Penyakit diabetes khususnya Jenis 1 sukar untuk didiagnosis, tetapi ia mudah terbina dalam tubuh dengan mengambil masa yang singkat. Bagi diabetes Jenis 2 pula,  ia mampu terbina dalam tubuh untuk tempoh lebih dari lima tahun tetapi gejalanya sangat sukar dikesan. Jika ada pun, pesakit berkenaan tidak langsung menjangka bahawa itu adalah petanda diabetes.
Renungkan....
  • Setiap 10 saat, seorang individu mati akibat penyakit diabetes atau penyakit berkaitan diabetes.
  • Kira-kira 3.8 juta kematian setahun disahkan berlaku akibat penyakit diabetes. Malangnya gejala dan kesedaran tentang penyakit ini masih lagi dipandang remeh.
  • Gejala diabetes kian hebat menyerang penduduk di negara membangun termasuk Malaysia. Malah penyakit ini adalah punca utama kepada serangan sakit jantung, strok, hilang penglihatan atau menjadi buta, hilang upaya fizikal (akibat ada di antara anggota badan yang terpaksa dipotong) dan kegagalan buah pinggang.
sumber: majalah rapi



0 comments: