Tauge Baik Untuk Mengawal Berat Badan
Tauge adalah sejenis tunas tanaman kekacang yang boleh dimakan. Ia adalah hasil daripada proses percambahan biji benih kekacang. Selama berkurun lamanya tauge telah digunakan berikutan kebaikannya dari segi nilai pemakanan dan perubatan.
Apabila disebut tauge, sudah pasti ramai akan terfikir mengenai tauge kacang hijau yang digunakan dalam masakan Asia. Tetapi banyak jenis biji benih kacang yang boleh dicambahkan untuk menjadi tauge. Ini termasuk biji bunga matahari, biji kacang Boston dan biji kacang soya. Semua jenis tauge merupakan sumber pemakanan yang baik. Tauge boleh dimakan mentah, dimasak atau dijadikan jus. Rasanya berbeza. Ia bergantung pada jenis tunas kacang itu.
Tauge kaya dengan sumber asid amino (untuk protein), vitamin-vitamin, mineral-mineral dan sejumlah serat. Ia juga mengandungi segala jenis vitamin-vitamin seperti A,B, C,D,E dan K, asid folik dan juga sumber besi, kalium, kalsium, fosforus, magnesium, dan zink yang bagus. Tauge turut mengandungi fitokimia seperti estrogen yang dikenali sebagai isoflavon.
Terdapat pelbagai kebaikan tauge. Dikatakan dengan memakan tauge anda mampu mengawal berat badan kerana tauge rendah kalori. Secawan tauge daripada benih kacang hijau memiliki kira-kira 31 kalori. Manakala secawan tauge daripada benih kacang soya memiliki kira-kira 70 hingga 80 kalori. Anda boleh menambah tauge dalam makanan anda tanpa perlu risau dengan kalorinya.
Kebanyakan jenis tauge atau tunas kekacang merupakan sumber terbaik protein. Dikatakan memakan tauge lebih baik daripada memakan produk haiwan kerana ia mampu merendahkan tahap kolesterol dalam darah. Tauge bebas kolesterol dan rendah lemak tepu.
Tauge juga mampu merendahkan tekanan darah kerana ia hampir bebas garam. Kandungan garam anda hanya akan betambah jika anda memasak tauge dengan kicap. Berikutan dengan kandungan serat yang tinggi dalam tauge juga, dikatakan dengan memakannya mampu membaiki motility usus dan melegakan tanda-tanda sembelit.
Tauge daripada kacang hijau dikatakan sumber baik lecithin dan baik untuk kesihatan hati. Lecithin mampu merendahkan tahap kolesterol dalam darah, membantu merendahkan lemak dalam hati sekali gus mencegah hati berlemak, iaitu masalah pada hati yang boleh membawa kepada kegagalan hati.
Cegah masalah rambut dan kuku rapuh
Tauge yang kaya dengan zat besi mampu memainkan peranan penting dalam sintesis hemoglobin, iaitu protein yang dijumpai dalam sel-sel darah merah. Ia juga turut tinggi vitamin C, yang mampu meningkatkan penyerapan zat besi daripada usus, sekali gus membantu mencegah atau merawat anemia yang disebabkan oleh kekurangan zat besi.
Memakan tauge juga dikatakan mampu member kebaikan kepada kuku dan rambut anda. Rambut dan kuku yang rapuh biasanya dalah kesan daripada kekurangan zat tertentu terutamanya protein-protein, vitamin-vitamin, dan zink. Tauge kaya dengan jumlah semua zat-zat ini. Ini juga bermakna tauge mampu membantu dalam mencegah masalah rambut dan kuku yang rapuh.
Tauge juga kaya dengan fitoestrogen. Ia m ampu membantu melegakan gejala-gejala berkaitan degan monopaus akibat pengurangan tahap estrogen. Fitoestrogen dalam tauge juga dikatakan efektif dalam mengurangkan osteoporosis berkaitan dengan menopaus.
Dikatakan juga fitoestrogen dalam tauge mampu bertindak sebagai penerima estrogen yang ditemui dalam kulit, merangsang sintesis asid hyaluronic, collagen dan elastin, yang merupakan komponen penting dalam struktur kulit. Pengambilan tauge dengan kerap dikatakan mampu mencegah perubahan kulit berkaitan usia, termasuklah keanjalan dan kehilangan kelembapan. Selain itu tauge juga dikatakan mampu membantu dalam melawan tanda-tanda dan gejala-gejala tekanan mental, fizikal dan keletihan.
Walaupun terdapat pelbagai kebaikan dari segi perubatan, namun begitu penggunaannya perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.
Sumber: Mingguan Wanita
0 comments:
Post a Comment