Kepentingan Kolagen

09:47 Unknown 0 Comments

KEPENTINGAN KOLAGEN

Membantu mengekalkan keanjalan kulit dan awet muda


Memasuki gerbang usia 40-an, saya semakin risau kerana ketegangan kulit wajah dan tubuh lain semakin mengeleber. Ramai kata, ia disebabkan kurang kolagen. Apakah kepentingan kolagen kepada tubuh sehingga banyak produk kecantikan mengandungi kolagen dipromosi di pasaran?

Dhia Aqila Izzuddin, Rawang, Selangor.

Proses penuaan adalah lumrah bagi setiap individu. Ia menyebabkan perubahan tertentu pada kulit.

Apabila usia bertambah, kolagen dan elastin iaitu serat yang mengekalkan ketegangan kulit akan menjadi lemah. Akibatnya, kulit menjadi kendur, menipis dan kehilangan integriti tisu membuatkan ia kelihatan tidak tegang dan berkedut.


Ketika perubahan itu berlaku graviti turut melaksanakan tugasannya dengan menarik kulit yang menyebabkannya menjadi kendur.

Sinaran matahari juga menjadi penyebab utama perubahan kulit. Beberapa banyak seseorang itu terdedah kepada sinaran akan menentukan sejauh manakah kedutan pada kulit.

Justeru, kemunculan pelbagai produk kosmetik berasaskan kolagen dalam pasaran sekarang member peluang orang ramai memilih mana produk yang sesuai.

Produk sebegini dikatakan dapat memperlahankan proses penuaan dengan menggantikan kolagen yang semakin berkurangan dan membantu sebagai agen awet muda.


Fakta Kolagen
Apa itu kolagen? Ia adalah sejenis protein semula jadi dalam kulit manusia dan menjadi bahan asas bagi menghasilkan sel, tisu dan organ dalam tubuh manusia. Satu pertiga daripada protein dalam tubuh manusia diperbuat daripada kolagen dan kebiasaannya ditemui pada tulang, otot dan tisu pada organ.

Kolagen juga bersama-sama komponen lain seperti keratin dan elastin member kekuatan serta keanjalan struktur kulit. Penghasilan kolagen secara semula jadi akan berkurangan perlahan-lahan dengan peningkatan usia pada kadar purata satu peratus setiap tahun.

Bagi wanita, penghasilan kolagen tidak sebanyak lelaki. Oleh itu, dengan penghasilannya yang semakin berkurangan pada kadar satu peratus wanita akan kehilangan hampir separuh kolagen daripada kulit mereka seawal usia 50 tahun.

Kolagen semula jadi ini juga boleh berkurangan disebabkan faktor persekitaran seperti kerap terdedah kepada cahaya matahari, toksin seperti asap rokok dan dadah serta nutrisi yang tidak seimbang.

Produk Kolagen
Kebelakangan ini, ada banyak produk di pasaran berasaskan kolagen yang dikatakan dapat menggantikan kolagen yang dikatakan dapat menggantikan kolagen akibat peningkatan usia. Produk kolagen yang berada di pasaran pada masa ini disediakan dalam bentuk minuman, pil, kapsul, krim dan suntikan.


Produk ini dikatakan membantu menghilangkan kedut dan garisan halus pada muka, menambah keanjalan dan memperbaiki pigmentasi, sekali gus member kesan pemulihan kepada kulit.

Ada juga produk mendakwa mempunyai khasiat tambahan seperti member kekuatan tulang dan memperbaiki fungsi sendi. Bagaimanapun, di sebalik dakwaan syarikat dan testimoni pengguna berkaitan kebaikan produk kolagen, ada beberapa faktor dari segi sains perubatan yang perlu diambil kira sebelum menyatakan kolagen buatan manusia itu bermanfaat.

Sebagai Makanan Tambahan
Seperti yang kita ketahui kolagen ialah sejenis protein dan apabila diambil sebagai makanan tambahan ia akan dihadam oleh enzim pencernaan untuk menjadi asid amino. Kemudian digunakan oleh sel untuk peroses penting dalam tubuh dan tidak semestinya digunakan untuk menggantikan kolagen pada kulit atau tulang seperti dikehendaki.


Kolagen dalam bentuk krim, losen atau gel yang perlu disapu pada kulit pula dikhuatiri tidak dapat member kesan diingini kerana saiz molekul kolagen sangat besar dan tidak dapat menembusi lapisan kulit. Jika ada produk kolagen di formulasi dengan teknologi moden dan bersaiz mikro, kolagen yang berjaya menyerap masuk ke kulit ini berkemungkinan dimusnahkan oleh system imun badan terlebih dahulu sebelum sempat menghasilkan kesan diingini.

Justeru, pengguna yang bercadang menggunakan produk kolagen perlu mempertimbangkan sebaik mungkin sebelum membeli dan menggunakan produk kolagen.

Lakukan penyelidikan terperinci sebelum mengamalkan produk kolagen:
- Dapatkan pandangan dan nasihat professional daripada pakar perubatan kosmetik atau pakar kecantikan bertauliah terlebih dahulu. Ini penting untuk mengetahui sama ada produk itu memberi manfaat dan mengurangkan kesan sampingan.


- Pastikan produk yang ingin digunakan itu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan. Produk berdaftar dijamin selamat dan berkualiti kerana sudah melalui ujian makmal sebelum diluluskan dan boleh dipasarkan.

- Pertimbangkan dengan logic semua kebaikan yang didakwa boleh diperolehi daripada produk kolagen yang ingin dibeli. Pengguna perlu membandingkan fungsi kolagen semula jadi yang dihasilkan oleh badan dengan kebaikan yang dijanjikan oleh produk kolagen. Sepatutnya khasiat kedua-dua jenis kolagen tidak jauh beza dan tiada dakwaan khasiat keterlaluan oleh penjual produk dalam bahan promosi mereka.

- Dapatkan maklumat selengkap mungkin mengenai produk yang ingin digunakan termasuk kesan sampingan. Produk kolagen terutama yang berasaskan haiwan seperti kolagen ikan bolelh menyebabkan kesan alahan kepada pengguna berisiko. Masyarakat terutama golongan muda digalakkan bermula lebih awal. Proses penuaan boleh dilewatkan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Beberapa langkah melambatkan proses penuaan:
1) Elakkan kulit terdedah terus kepada cahaya matahari dan amalkan penggunaan krim pelindung cahaya matahari yang mengandungi SPF 50 dan ke atas.

2) Kurangkan merokok dan terdedah kepada asap rokok serta minuman keras.

3) Tidur yang mencukupi dan berkualiti serta tidak ketinggalan juga mengawal tekanan.


4) Amalkan diet seimbang dan banyak mengambil sayur-sayuran serta buah-buahan yang kaya dengan vitamin dan antioksida. Buah-buahan berwarna terang seperti tembikai, tomato dan limau gedang mengandungi lycopene yang berkhasiat mengelak degenerasi atau pengurangan kolagen. Makanan yang kaya dengan omega 3 seperti minyak ikan dan spirulina juga bagus sebagai antioksida dan berkhasiat untuk kulit.

5) Amalkan mencuci muka dengan skrub dan pencuci muka diformulasi dengan alphahydroxy acid (AHA) dan beta hydroxyacid (BHA) yang membantu pertubuhan semula kulit.


6) Penggunaan AHA membantu penghasilan kolagen dalam kulit dan menjadikan kulit lembap.


Sumber : Berita Harian (isnin 27 april 2015)

0 comments: